“Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh remaja seperti kami dalam konteks membangunkan Islam?” Seringkali kita mendengar persoalan seperti ini diajukan di majlis-majlis dan forum-forum agama, terutama sekali majlis yang membicarakan betapa berharganya golongan remaja bagi umat. Apatah lagi bila seringkali kita diperdengarkan bahawa golongan remajalah yang akan menentukan masa depan sesuatu masyarakat. Lalu golongan audiens yang rata-ratanya dalam usia remaja pun jadi bersemangat, berkobar-kobar jiwanya, menanyakan diri “apa yang boleh aku lakukan?” Bila soalan tersebut tak dapat kita jawab, maka kita lontarkan kepada si penceramah, atau panelis, dengan harapan mereka boleh memberitahu kita apa yang boleh kita lakukan. Inilah sikap kebanyakan kita, suka menunggu dan menerima arahan. Lebih sedih lagi, bila penceramah atau panelis tersebut memberikan cadangan-cadangan perkara yang boleh kita lakukan sebagai remaja, tak pula kita lakukan perkara-perkara tersebut. Lalu semangat yang berkobar-kobar tadi padam dalam jiwanya sebaik saja majlis bersurai, cukup sekadar menyedapkan hati agaknya, bahawa sekali-sekali aku fikirkan jugak tentang umat.

Mungkin inilah sebabnya mengapa ceramah-ceramah dan program-program agama yang menjadikan golongan remaja sebagai golongan sasaran biasanya gagal memberikan sebarang kesan. Kerap kali penceramah cuba untuk menyedarkan golongan remaja ini betapa mereka ini begitu berharga, walhal permasalahannya sama banyaknya pada kesedaran kalau dibandingkan dengan sikap rata-rata ramaja masa kini. Banyak organisasi-organisasi agama pada hari ini yang menyedari betapa pentingnya kita membangunkan para remaja, maka banyaklah ceramah-ceramah, program-program, dan kem-kem agama diadakan khusus untuk golongan remaja. Namun tak dapat tidak, persoalan-persoalan seperti “apa yang boleh kami lakukan sebagai remaja?” tetap diajukan, tidak kira berapa banyak kali dah dibincangkan.

Saya ingin mangajak rakan-rakan seusia remaja saya untuk memikirkan, pentingnya dan berharganya golongan kita ini untuk sekarangkah? Apa saja yang boleh kita lakukan sebagai remaja ni? Duit pun tak banyak nak sumbangkan, pengaruh pun ada la beberapa kerat kawan-kawan dan keluarga yang dekat, nak buat pasukan bolasepak pun tak cukup rasanya. Pengalaman jangan difikirkanlah, sebanyak mana saja kerenah dunia yang dah kita lihat dan lalui? Jadi apa sangat yang berharganya golongan remaja ini? Inilah saya rasa persoalan penting yang perlu para penceramah dan panelis-panelis forum-forum agama jelaskan kepada remaja-remaja kita. Pentingnya golongan remaja ini bukan untuk waktu sekarang, waktu kita sedang remaja, tetapi penting dan berharganya kita adalah apabila kita dewasa nanti, apabila dah ada banyak duit, banyak pengaruh, banyak pengalaman. Dan apa yang menentukan kebergunaan kita pada Islam dan umat apabila kita dewasa nanti adalah pembangunan diri kita tatkala remaja ini. Di situlah pentingnya dan berharganya usia remaja, untuk pembangunan diri.

Sedihnya kebanyakan rakan-rakan kita yang bergiat cergas dengan menyertai program-program agama, usrah-usrah, kem-kem anjuran badan-badan agama, kebanyakannya tidak menyedari hakikat ini. Kebanyakan mereka hanya mementingkan pembangunan ilmu agama untuk diri sendiri. Aku pergi ini untuk aku tambahkan ilmu agamaku. Cukup setakat itu, berhenti di situ. Bagaimana dengan pembangunan diri untuk bidang ilmu dunia? Mampukah untuk kita bangunkan dan kembalikan kegemilangan Islam kalau lulus ijazah di universiti pun sekadar cukup makan? Memang ilmu agama itu satu kemestian untuk kita berjaya di akhirat, tetapi kejayaan tersebut adalah untuk diri sendiri. Kita buat amalan baik, kita buat kebajikan, kumpul pahala banyak-banyak, semuanya ini kerana kita mengharapkan syurga untuk diri kita di akhirat kelak. Tapi bagaimana dengan kawan-kawan seagama kita yang lain? Bagaimana pula dengan kawan-kawan rapat kita yang bernama John atau Andrew atau Melissa yang tidak sampai hidayah Islam kepada mereka lagi? Adakah kita hanya mengkesahkan kejayaan kita di akhirat nanti sehingga lupa akan pembangunan Islam di dunia ini? Kerap kali saya bertanya, inikah apa yang diajarkan Islam? Semestinya tidak. Islam tidak pernah mengajar umatnya mementingkan diri. Islam juga mementingkan kecemerlangan, di dunia dan akhirat. Kerana kalau semua orang cemerlang ilmu agama saja, cemerlang di akhirat saja, siapa yang nak bangunkan Islam di dunia ini, bina kekuatan dari seagala segi – ekonomi, teknologi, sosial – untuk agama Allah di dunia ini? Mampukah kita berdakwah dan bina kekuatan dengan berceramah sahaja?

Sedih saya melihatkan ramai kawan-kawan seusia dan seperjuangan yang selalu menghadiri majlis-majlis agama, selalu pergi solat berjemaah di surau-surau dan masjid-masjid, selalu ajak orang buat kebaikan, selalu menunjukkan akhlak-akhlak yang baik, tapi hanya ada satu saja kekurangan: tidak ada dalam hatinya semangat untuk membangunkan diri dengan ilmu-ilmu dunia lebih dari sekadar apa yang diajar di sekolah-sekolah atau universiti-universiti. Sikap cukup makan selalunya menjadi pembunuh potensi diri mereka, satu kerugian yang besar untuk agama dan masyarakat. Lihat sajalah diri kita sendiri dan kawan-kawan sekeliling kita, berapa ramai saja yang suka membaca buku-buku bukan fiksyen, atau buku-buku fiksyen yang berdasarkan realiti sebenar dunia hari ini? Memang kurang seronok baca buku-buku bukan fiksyen ini kalau nak dibandingkan dengan buku-buku seperti Harry Potter atau The Lord of the Rings, tapi macam mana nak bina kecemerlangan kalau asyik nak berseronok saja?