Baru-baru ini, terdapat rakan saya yang memanjangkan cadangan seorang setiausaha bagi organisasi bukan bersifat keuntungan yang mana laman web organisasi tersebut direkabentuk dan dibangunkan secara sukarela oleh saya sendiri berkenaan penggunaan perisian pengurusan kandungan untuk laman tersebut.

Terdapat banyak pakej CMS yang boleh digunapakai, dan pemilihannya bergantung kepada banyak faktor.

Nyata terdapat ketidakfahaman berkenaan penggunaan  perisian pengurusan kandungan dalam cadangan tersebut, lalu saya tuliskan artikel ini sebagai respon kepada cadangan tersebut.

Semoga penjelasan ini dapat meleraikan kekeliruan berkenaan penggunaan perisian pengurusan kandungan bagi mengurus laman-laman web. Sebarang soalan atau cadangan-cadangan lain adalah sangat dialu-alukan.

Perisian Pengurusan Kandungan

WordPress, Joomla, PHP Fusion, CMS Made Simple, semuanya adalah contoh pakej perisian web yang dinamakan Perisian Pengurusan Kandungan, atau dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai Content Management System (CMS). Fungsi utama perisian-perisian ini adalah untuk memudahkan pengurusan kandungan bagi laman-laman web (lantas dinamakan sedemikian). Sebelum adanya perisian-perisian seperti ini, untuk menambah dan mengubah kandungan laman web seseorang itu perlu mengubah kod-kod yang digunakan untuk membina laman web tersebut secara terus. Ini bermakna individu tersebut perlu mengetahui kod-kod yang digunapakai, terutama HTML, walaupun hanya sekadar untuk menambah atau menukar kandungan bagi sesuatu laman web.

Dengan adanya perisian pengurusan kandungan seperti WordPress dan Joomla, operasi menambah dan mengubahsuai kandungan sesuatu laman web telah sangat dipermudah. Kandungan baru boleh ditambah menggunakan muka pentadbiran (administration screen) perisian-perisian tersebut. Seseorang individu yang mahu mengubah atau menambah tidak lagi perlu mengetahui kod-kod yang digunakan untuk membina laman web tersebut, sebaliknya operasi tersebut dapat dilakukan dengan mudah. Inilah fungsi utama perisian pengurusan kandungan.

Rekabentuk dan fungsi

Oleh sebab perisian-perisian tersebut hanya mengurus kandungan sesuatu laman web, rekabentuk dan fungsi-fungsi laman web tersebut tidaklah ditentukan atau dibataskan oleh perisian-perisian tersebut. Dengan kata lain, laman web yang menggunakan WordPress boleh mempunyai fungsi-fungsi dan rekabentuk yang sama dengan laman yang menggunakan Joomla, PHP Fusion, mahupun perisian-perisian pengurusan kandungan yang lain. Rekabentuk dan fungsi-fungsi sesuatu laman web itu sebaliknya ditentukan oleh pembangun laman web tersebut itu sendiri, yang membina laman web tersebut menggunakan kod-kod seperti HTML, CSS, PHP, JavaScript, SQL, dsb.

Memilih perisian pengurusan kandungan

Perbezaan yang ketara antara perisian-perisian pengurusan kandungan tersebut adalah dari segi kemudahan untuk digunapakai, sokongan teknikal, dan sejauh dan semudahmana fungsi-fungsi yang tidak dipakejkan sekali dengan perisian tersebut dapat ditambah dan diubahsuai untuk sesuatu laman web itu. WordPress dan Joomla adalah merupakan antara perisian pengurusan kandungan yang paling popular. Ini adalah penting kerana populariti sesuatu perisian itu, terutama jika ia adalah perisian sumber-terbuka (open-source), akan menentukan kemudahan penggunaannya dari segi sokongan teknikal and penambahan dan pengubahsuaian fungsi.

Terdapat lebih daripada 10,000 perisian tambahan percuma bagi WordPress

Hal ini adalah kerana populariti menentukan jumlah pengguna, dan lebih banyak pengguna akan menghasilkan lebih banyak tutorial-tutorial dan penyelesaian bagi masalah-masalah teknikal. Selain itu, populariti juga menentukan jumlah perisian tambahan (plugin) yang dibangunkan bagi perisian pengurusan kandungan tersebut. Populariti juga mempengaruhi sejauh mana aktifnya pembangunan perisian pengurusan kandungan tersebut, dari segi penambahan fungsi-fungsi baru dan pembaikpulihan pepijat (bug fixes) serta penutupan lubang-lubang keselamatan (security loopholes).

Selain daripada sebab-sebab yang dinyatakan di atas, pemilihan perisian pengurusan kandungan juga bergantung kepada sejauhmana pembangun laman tersebut mahir dan berpengalaman menbangunkan laman web yang menggunakan perisian-perisian pengurusan kandungan yang tertentu. Setiap perisian pengurusan kandungan mempunyai kaedah pengoperasian yang berlainan, oleh sebab itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk seseorang pembangun laman web untuk memahiri kaedah-kaedah bagaimana perisian-perisian tersebut beroperasi tanpa menghabiskan masa dan usaha yang banyak.

Kesimpulan

Konklusinya, fungsi-fungsi dan rekabentuk laman web bukanlah ditentukan oleh perisian pengurusan kandungan yang ditentukan, tetapi terletak pada bahu pembangun laman tersebut untuk menulis kod-kod untuk menambah fungsi-fungsi yang dikehendaki. Selain itu, rupa dan rekabentuk laman tersebut juga bergantung kepada individu yang bertanggungjawab merekabentuk laman tersebut.

Nota

Imej contoh-contoh CMS diambil dari laman sanjayadexe.co.cc.

Semoga penjelasan ini dapat meleraikan kekeliruan berkenaan penggunaan perisian pengurusan kandungan bagi mengurus laman-laman web. Sebarang soalan atau cadangan-cadangan lain adalah sangat dialu-alukan.