Tahun lalu, sekitar pada waktu yang sama tahun ini, saya telah merekabentuk dan menghasilkan tema WordPress saya sendiri yang pertama untuk digunapakai oleh blog ini. Ia merupakan kali pertama saya membangunkan satu tema WordPress yang lengkap dari awal. Ia merupakan suatu pengalaman pembelajaran yang besar bagi saya, mempelajari bagaimana menulis kod untuk membangunkan rekabentuk tema tersebut menjadi tema WordPress yang boleh digunakan sepenuhnya dengan WordPress.

Anda perlu mahir dengan sekurang-kurangnya tiga jenis kod untuk membangunkan tema WordPress anda sendiri: XHTML, CSS, dan PHP. Saya mempunyai cukup kemahiran dengan dua jenis kod yang pertama, tetapi sangat sedikit kemahiran dan pengalaman tentang PHP, cukup sekadar untuk saya memulakan proses pembangunan tema tersebut. Pada ketika itu, saya langsung tidak biasa dengan kaedah bagaimana tema WordPress berfungsi, dan menghabiskan banyak masa membaca tutorial-tutorial di internet untuk belajar bagaimana untuk membangunkan tema WordPress. Ia merupakan suatu pengalaman pembelajaran yang cukup besar bagi saya.

Dan kini, selepas setahun, saya telah menghasilkan tema WordPress saya sendiri yang keempat, iaitu khairul-syahir.com-v3. Ia merupakan suatu pengalaman pembelajaran yang besar setahun yang lalu, dan kini ia masih merupakan suatu pengalaman pembelajaran yang besar bagi saya.

Ciri Artikel Berkaitan dan Perkongsian Sosial telah diintegrasikan sepenuhnya dengan khairul-syahir.com-v3

Rekabentuk

Khairul-syahir.com-v2 telah mengimplementasikan banyak daripada ciri-ciri yang ditawarkan oleh WordPress pada ketika itu, namun dengan terbitnya WordPress 3.0 hanya beberapa minggu yang lalu, membangunkan khairul-syahir.com-v3 adalah merupakan sebuah cabaran kerana saya cuba untuk mengimplementasikan ciri-ciri baru yang hanya baru diperkenalkan dalam WordPress 3.0. Selain daripada itu, rekabentuk untuk tema yang baru ini juga memerlukan banyak pengaturcaraan, yang mana saya tidak biasa dengan kebanyakan daripadanya. Pengetahuan saya mengenai PHP (bahasa pengaturcaraan yang digunakan untuk membangunkan WordPress) masih sedikit, dan oleh sebab itu saya menghabiskan banyak masa membaca tutorial-tutorial di internet untuk belajar bagaimana melaksanakan ciri-ciri yang diperlukan dalam rekabentuk yang baru ini. Ketika saya membangunkan tema WordPress saya yang pertama, cabaran utama bagi saya pada ketika itu adalah bahawa saya tidak biasa dengan penulisan kod bagi pembangunan tema WordPress. Kali ini, cabaran utama bagi saya adalah untuk mempelajari dan memahami bagaimana untuk membangunkan dan melaksanakan ciri-ciri yang lebih kompleks.

khairul-syahir.com v2

Khairul-syahir.com-v3 telah direkabentuk oleh Shaza Hakim, Ketua Kreativiti di Stampede Design, yang pada pagi hari Jumaat 30 Mei tiba-tiba sahaja mengirimkan saya sebuah email yang berbunyi seperti ini: “Don, boleh orang rekabentuk laman web kamu?”

Ciri-ciri baru

Rekabentuk kali ini merangkumi banyak item sidebar yang tersendiri (sidebar adalah lajur menegak yang terletak di sebelah kanan halaman ini, yang mengandungi kandungan sisi) yang merupakan suatu cabaran kepada saya untuk dibangunkan. Boleh saja saya mengambil jalan mudah dan hanya menulis semua kod yang diperlukan terus ke dalam fail-fail tema, tetapi kaedah sedemikian akan sangat menyukarkan saya apabila saya mahu membuat beberapa perubahan atau modifikasi pada masa hadapan. Oleh sebab itu saya membuat keputusan untuk membangunkan ciri sidebar yang diperlukan sebagai widget, yang akan membolehkan saya untuk menukar tetapan mereka dan menyusun lokasi mereka melalui muka pentadbiran WordPress, tanpa langsung menyentuh kod tema tersebut.

Borang balasan komen akan dipindahkan terus ke bawah komen yang sedang dibalas, membolehkan anda untuk membalas komen tersebut dengan lebih mudah dan dalam konteks.

KSv3 merangkumi ciri-ciri baru seperti teks deskripsi untuk gambar, integrasi ciri pelbagai bahasa (ya, blog ini adalah blog yang mempunyai pelbagai bahasa, akan saya terangkan dengan lebih lanjut tentang perkara ini di penghujung artikel ini), tingkatan pembalasan komen yang lebih dalam (8 tingkat) yang akan membolehkan anda untuk menjawab lebih komen daripada penulis komen yang lain, integrasi ciri-ciri Artikel Berkaitan dan Perkongsian Sosial yang lebih baik, serta keluasan bidang kandungan yang lebih besar untuk paparan dan pembacaan yang lebih baik.

Selain itu, ciri-ciri komen juga telah diperbaik. Apabila anda klik pada link untuk membalas komen yang ada, borang penulisan komen akan dipindahkan terus ke bawah komen yang ingin anda balas, supaya anda dapat melihat dan membaca komen yang berkaitan semasa menulis komen balasan anda.

Ciri lain yang menjadikan KSv3 lebih baik berbanding KSv2 adalah kaedah CSS sprite digunakan di mana-mana sahaja kaedah tersebut boleh digunakan. Untuk orang-orang teknikal, ini bermaksud pengurangan permintaan HTTP (HTTP requests) setiap kali laman web ini dipaparkan, tidak kira halaman mana sekalipun. JavaScript dan fail CSS (dan WordPress dan plugin-nya benar-benar menggunakan banyak fail JavaScript dan CSS) digabungkan dan dikurangkan saiznya, dan kemudian dimampatkan sebelum mereka dihantar kepada pelayar web. Untuk mereka yang bukan orang-orang teknikal, semua yang saya perkatakan akan menghasilkan akses yang lebih cepat kepada laman web ini, dan pengurangan tempoh yang diperlukan untuk memaparkan halaman-halaman di laman web ini.

Integrasi penuh

Integrasi penuh dan akan membuatkan sebuah laman web tampak elegan dan profesional. Integrasi penuh bermaksud bahawa segala ciri-ciri dalam sebuah laman web memiliki lokasi dan rupabentuk yang direkabentuk khas untuk ciri-ciri tersebut, dan tidak diletakkan dengan sewenang-wenangnya di mana-mana sahaja pada laman web itu. Salah satu contoh ciri yang diintegrasikan sepenuhnya adalah penukar bahasa. KSv2 menggunakan penukar bahasa yang didatangkan dengan plugin yang membolehkan laman web pelbagai bahasa dihasilkan menggunakan WordPress. KSv3 langsung tidak menggunakan penukar bahasa generik tersebut dan membangunkan penukar bahasa sendiri.

Keserasian pelayar

Saya telah menyemak dan memastikan bahawa laman web ini akan dipaparkan dan berfungsi sebagaimana ia dibangunkan untuk dipaparkan and berfungsi sekiranya diakses menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome, Internet Explorer 7, dan Internet Explorer 8. Saya juga telah memutuskan untuk langsung tidak membangunkan laman web ini untuk keserasian dengan Internet Explorer 6 sama sekali, kerana ia hanya akan menambah frustrasi, dan saya secara peribadi berpendapat bahawa ia tidak berbaloi. Sekiranya anda termasuk dalam lebih kurang 9% daripada pengguna internet yang masih menggunakan IE6, tingkatkanlah pelayar web anda kepada lebih baik dan lebih moden, seperti Mozilla Firefox sekarang.

Laman web ini menggunakan sedikit CSS3, piawaian pengekodan baru yang sebahagiannya disokong oleh pelayar moden seperti Mozilla Firefox dan Google Chrome, oleh itu laman web kelihatan sedikit lebih baik jika diakses menggunakan pelayar-pelayar tersebut. Internet Explorer 7 dan 8 tidak menyokong CSS3 sama sekali.

Blog pelbagai bahasa

Penukar bahasa telah sepenuhnya disesuaikan dan diintegrasikan ke dalam tema.

Blog ini ditulis dalam Bahasa Inggeris, namun baru-baru ini saya mengambil keputusan untuk mula menterjemah sebahagian daripada kandungannya ke dalam Bahasa Melayu, bahasa asal saya. Saya mempunyai beberapa motivasi untuk keputusan ini, tetapi saya tidak akan jelaskan di sini. Mana-mana artikel yang mempunyai terjemahan akan mengandungi capaian untuk beralih kepada bahasa yang lain di bawah tajuk artikel tersebut di sebelah kanan. Pada masa ini, tidak banyak daripada artikel di blog ini yang telah diterjemahkan. Oleh sebab itu, memaparkan laman web ini dalam Bahasa Melayu akan membuatkannya kelihatan sedikit tidak teratur. Penterjemahan merupakan suatu proses sangat memakan masa dan usaha (dan ya, memang saya berharap saya mempunyai penterjemah peribadi), jadi ia akan memakan masa sebelum banyak daripada kandungan laman ini akan diterjemahkan.

Akhir kata

Saya telah lama tidak menerbitkan kandungan baru dalam laman web ini, dan alasan untuk perkara tersebut adalah kerana saya terlalu sibuk dengan perkara-perkara lain. Pembangunan tema WordPress yang baru ini merupakan suatu mengalaman yang menyeronokkan dan benar-benar banyak yang saya pelajari daripadanya, dan saya juga telah melepaskan diri saya daripada perkara yang benar-benar banyak memakan masa supaya saya dapat melakukan perkara-perkara yang benar-benar saya gemari, seperti menerbitkan artikel-artikel perbincangan ilmiah yang bererti di blog ini. Memandangkan pembangunan tema yang baru sudahpun selesai, anda boleh mengharapkan artikel-artikel baru daripada saya dalam masa yang terdekat!

Sementara itu, silalah melihat-lihat laman web saya yang baru ini dan tinggalkan komen untuk menyatakan pendapat anda mengenainya! Oleh sebab ini merupakan tema yang baru, adalah menjadi kebiasaan untuk beberapa bug yang tidak saya sedari semasa proses pembangunannya. Sekiranya anda mendapati sebarang masalah, sila maklumkan juga kepada saya melalui ruangan komen :).