Sesiapa sahaja yang terlibat dalam pembangunan laman web tahu bahawa laman web yang anda bangunkan tidak berguna tanpa menerbitkan laman tersebut dalam talian (secara online). Itulah yang menjadi nadi industri penerbitan laman web – menerbitkan laman-laman web di pelayan (server) mereka supaya sesiapa sahaja di seluruh dunia boleh mengakses laman-laman tersebut melalui internet. Oleh sebab itulah industri ini merupakan komponen penting dalam industri pembangunan web, baik bagi syarikat-syarikat besar atau individu-individu yang menawarkan perkhidmatan secara bebas (freelancer).

Oleh sebab mengendalikan pelayan sendiri adalah sangat tinggi kosnya, ia adalah tidak efektif secara kewangan untuk hampir semua studio pembangunan web (dan freelancers). Kebiasaannya cara yang paling mudah adalah dengan melanggani perkhidmatan tersebut dengan syarikat penerbitan web – syarikat yang operasi utamanya hanya untuk menyediakan dan mengendalikan pelayan untuk menerbitkan laman-laman web. Sudah tentu, langganan seperti ini bukan percuma.

Secara amnya terdapat tiga jenis pakej penerbitan web: pelayan dedikasi, pelayan peribadi virtual (virtual private server, VPS), dan pelayan kongsian. Selalunya pelayan dedikasi adalah yang paling mahal, kerana syarikat penerbitan web perlu mendedikasikan keseluruhan satu pelayan untuk hanya satu akaun penerbitan web tertentu. Ini adalah seperti menyewakan sebuah komputer dengan sambungan internet yang sangat pantas untuk menerbitkan sejumlah besar laman-laman web atau laman yang memerlukan ruang cakera yang besar dan keperluan pemindahan trafik yang tinggi. VPS adalah kedua berdasarkan harga, menawarkan banyak daripada ciri-ciri pelayan berdedikasi, tetapi bukan keseluruhan pelayan didedikasikan hanya kepada satu akaun. Sebaliknya, beberapa akaun diperuntukkan untuk satu pelayan dengan batasan pengunaan pelayan yang lebih tinggi bagi setiap akaun – kurang ruang cakera, kurang penggunaan trafik, dan kurang penggunaan memori dibenarkan. Namun begitu, pada kebiasaanya anda masih memperoleh ciri-ciri pentadbiran seperti yang akan anda perolehi dengan pelayan berdedikasi, seperti akses kepada shell (menjalankan operasi pada pelayan melalui antara muka perintah-baris, atau lebih dikenali sebagai command-line interface) dan anda boleh menentukan kebanyakan daripada tetapan pelayan, jika tidak semua. Kemudian yang paling murah dari segi harga adalah pelayan kongsian. Hal ini adalah kerana anda akan memperoleh kurang kapasiti cakera dan pemindahan trafik yang diperuntukkan berbanding VPS, kurang peruntukan memori, dan macam-macam lagi batasan-batasan penggunaan pelayan yang lain, supaya syarikat penerbitan webdapat memperuntukkan satu-satu pelayan kepada akaun-akaun pelayan kongsian dengan sebanyak mungkin. Batasan-batasan ini pada kebiasaanya adalah sangat tinggi. Adalah sangat bertuah sekiranya anda menjumpai pakej pelayan kongsian yang membolehkan anda menentukan kebanyakan daripada tetapan-tetapan pelayan.

Syarikat pembangunan web kebiasaannya mempunyai kemampuan kewangan untuk melanggan akaun pelayan dedikasi atau VPS, tetapi kos untuk melanggan akaun ini masih terlalu tinggi untuk individu-individu yang menawarkan perkhidmatan secara bebas. Oleh sebab itu, pada kebiasaannya freelancer seperti saya hanya melanggani akaun pelayan kongsian, yang memadai untuk kebanyakan laman web.

Malaysia secara amnya mempunyai sejumlah syarikat penerbitan web yang cukup bilangannya untuk kegunaan tempatan. Saya secara peribadi telah melanggan akaun penerbitan web dengan dua syarikat: MalaysiaHosting2u dan MercuMaya.net. Dan pengalaman saya dengan kedua-dua syarikat tersebut bukanlah sesuatu yang menggembirakan.

Kali pertama saya melanggan akaun pelayan kongsian adalah dengan MalaysiaHosting2u, dan semuanya secara amnya adalah bagus dan lancar. Oleh sebab pelayan tersebut secara fizikalnya berada di Malaysia, kelajuan akses adalah sangat tinggi. Namun begitu, pada suatu hari secara tiba-tiba saya kehilangan semua fail-fail saya yang terdapat pada akan pelayan kongsian tersebut, selepas tidak dapat mengakses langsung akaun tersebut selama beberapa hari. Perkara tersebut adalah disebabkan oleh pelayan itu telah digodam, dan penggodam tersebut telah memadam semua fail-fail dalam akaun pelayan kongsian saya. (Baca lebih lanjut mengenai gangguan pelayan ini). Nasib baik mereka mempunyai fail sandaran (backup), walaupun ianya tidak memadai. Saya kehilangan semua pangkalan data, selain daripada beberapa fail yang baru. Kelemahan lain syarikat tersebut adalah mereka mengambil masa yang sangat lama (dibandingkan dengan syarikat-syarikat penerbitan web luar negara) untuk memberikan bantuan teknikal and respon kepada isu-isu yang dilaporkan pelanggan. Saya merasakan bahawa syarikat tersebut hanya dikendalikan oleh beberapa orang sahaja, dan mereka tidak mempunyai sumber yang cukup untuk memberikan sokongan yang baik kepada pelanggan.

Saya melanggani akaun penerbitan web dengan MalaysiaHosting2u selama 2 tahun, dan pada akhir tempoh langganan untuk tahun kedua, saya memutuskan untuk berpindah ke satu lagi syarikat penerbitan web yang lain di Malaysia, MercuMaya.net. Pada awalnya saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan, kecuali hanya pada satu aspek: pelayan mereka tidak dikonfigurasikan untuk mengaktifkan ciri-ciri tertentu yang sangat berguna dalam mengendalikan sebuah laman web (seperti mengaktifkan modul yang memampatkan and mengurangkan saiz kandungan laman web sebelum menghantar kandungan tersebut ke pelayar internet, yang mana akan mengurangkan penggunaan bandwidth dan mempercepat akses kepada laman web tersebut). Oleh sebab konfigurasi tersebut, saya terpaksa mencari kaedah alternatif untuk mendapatkan hasil yang lebih kurang sama, dan proses tersebut mengambil masa dan usaha yang banyak, dan hasil akhirnya masih tidak sebaik sekiranya modul yang berkenaan diaktifkan. Adalah benar-benar tidak menggembirakan untuk mencari kaedah alternatif bagi mengatasi keterbatasan pelayan, terutama sekali apabila keterbatasan itu dapat diatasi dengan begitu mudah syarikat penerbitan web tersebut mengambil lebih sikit peduli dalam mengkonfigurasikan pelayan.

Walaupan begitu, saya masih boleh menerima keterbatasan tersebut dan meneruskan langganan akaun penerbitan web dengan syarikat tersebut. Malah, saya meningkatkan langganan saya untuk membolehkan saya menerbitkan beberapa buah laman web yang lain di samping laman web saya sendiri. Namun pada suatu hari sesuatu yang tidak dapat saya sabarkan lagi berlaku: mereka secara tiba-tiba menghentikan akaun penerbitan web saya dan meletakkan notis “Akaun dihentikan” yang sangat jelek pada laman web saya. Penggantungan servis ini dilakukan tanpa sebarang notis ataupun amaran. Apabila saya bertanyakan kepada mereka akan sebab mengapa akaun penerbitan web saya digantung, mereka menyatakan bahawa penggunaan CPU bagi akaun saya adalah terlalu tinggi, jauh melebihi batasan yang telah ditetapkan untuk pelayan kongsian. Saya langsung tidak menyedari akan hal ini, dan saya merasakan bahawa perkara tersebut adalah disebabkan oleh salah satu skrip yang menjalankan pengulangan tanpa henti (infinite loop) dalam akaun penerbitan web saya. Berikutan ini, saya bertanyakan kepada mereka apa yang boleh saya lakukan bagi pihak saya untuk mendapatkan kembali akses kepada akaun penerbitan web saya. Setelah 2 hari dan 2 panggilan telefon kemudian (2 hari merupakan tempoh yang terlalu lama bagi mereka untuk memberikan respon kepada saya berkenaan masalah ini, dan panggilan telefon bukanlah murah memandangkan saya berada di New Zealand), mereka akhirnya memberikan respon dan menyatakan bahawa penggantungan ke atas akaun penerbitan web saya adalah kekal. Jawapan tersebut membuatkan saya benar-benar marah. Sudahlah penggantungan tersebut adalah secara tiba-tiba dan tanpa sebarang notis atau amaran, kerana sesuatu yang saya tidak langsung sedari, dan mereka menjadikan penggantungan tersebut kekal. Pada saat tersebut saya memutuskan bahawa saya tidak boleh lagi bersabar dengan perkhidmatan yang diberikan.

Nasib baik mereka di Stampede Design sangat murah hati untuk memberikan saya akaun penerbitan web pada salah satu akaun VPS mereka. Saya menggunakan begitu banyak masa dan usaha untuk memindahkan laman web saya ke akaun yang baru mangaktifkan kembali laman web saya.

Saya bukanlah seorang yang kerana amarah melemparkan tuduhan secara membuta-tuli. Saya mengakui bahawa ia mungkin merupakan salah saya sendiri untuk menggunakan skrip leeching (yang saya rasakan entah bagaimana menjalankan pengulangan tanpa henti) untuk memindahkan fail dari pelayan lain ke akaun penerbitan web saya, tapi seperti yang telah saya nyatakan, saya tidak menyedari langsung akan penggunaan CPU yang tinggi pada akaun penerbitan web saya. Syarikat penerbitan web tersebut juga tidak pernah menyatakan bahawa saya tidak boleh menjalankan skrip seumpama itu di pelayan mereka, dan capaian ke Polisi Penggunaan (Acceptable Usage Policy, AOP) dan Syarat Perkhidmatan (Terms of Service, TOS) pada laman web mereka kedua-duanya mendapatkan halaman ralat (Ralat 404: Tidak Dijumpai). Dan keputusan mereka untuk menangguhkan akaun penerbitan web saya secara kekal tanpa notis atau amaran langsung tidak boleh diterima.Ini merupakan khidmat pelanggan yang terburuk yang pernah saya alami. Mereka langsung tidak mempunyai kesopanan sama sekali untuk sekurang-kurangnya memberikan saya notis berkenaan hal tersebut. Nasib baik laman web yang saya jalankan bukanlah suatu laman yang bersifatkan perniagaan, maka saya tidak banyak mengalami, tetapi terdapat dua ladi laman web lain yang diterbitkan pada akaun yang sama turut hilang akses, dan salah satu dari laman tersebut adalah merupakan laman web bagi satu pertubuhan yang bukan bersifatkan keuntungan (non-for-profit organization).

Terdapat cukup banyak ruang bagi penambahbaikan untuk industri penerbitan web di Malaysia industri, terutama dalam hal khidmat pelanggan. Saya ulangi: terutama dalam hal khidmat pelanggan. Sehingga penambahbaikan tersebut menjadi kenyataan, saya lebih berpuas hati untuk menerbitkan laman web saya dengan pelayan di luar negeri. Jangan salah faham. Saya mahu menyokong industri tempatan, tetapi tidak sekiranya apa yang saya akan dapat adalah perkhidmatan yang tidak boleh dipercayai dan tekanan yang berterusan.