Bangsa Melayu seperti yang didefinisikan dalam Perlembagaan Malaysia adalah sesuatu yang agak luar dari definisi kebiasaan sesuatu bangsa: ia bukanlah sekadar bangsa atau etnik, tetapi didefinisikan sebagai bangsa beragama. Definisi tersebut menambah komponen agama kepada definisi asal bangsa yang pada prinsipnya diwarisi hanya secara keturunan semata-mata. Menurut Perlembagaan Malaysia, seorang rakyat yang bukan beragama Islam bukanlah seorang yang berbangsa Melayu, walaupun susur galur keturunannya nyata menunjukkan bahawa dia adalah berdarah bangsa yang dikenal sejarah sebagai Melayu.

Definisi melayu yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia ini bukanlah perkara utama yang hendak dibincangkan dalam artikel ini, tetapi penghubungkaitan agama kepada sesuatu etnik, secara spesifiknya penghubungkaitan agama Islam kepada bangsa Melayu. Hari ini, sekurang-kurangnya di negara ini, Islam dan Melayu begitu rapat sekali dihubungkaitkan sehingga apa sahaja yang biasanya dilakukan oleh orang melayu, dianggap sebagai ajaran Islam. Tanggapan tersebut sahaja sudah menjadi satu kerugian kepada agama kerana bangsa dan agama pada dasarnya adalah dua entiti yang sangat berlainan. Bangsa berkembang melalui zaman, melalui asimilasi dengan alam dan persekitaran di aman sekumpulan manusia hidup untuk generasi demi generasi. Asimilasi ini membawa begitu banyak perubahan dan penambahan, dan penyesuaian kepada cara bagaimana sekumpulan manusia ini menjalani kehidupan mereka. Inilah yang membawa kepada terbentuknya sesuatu bangsa dan budaya yang biasanya unik berbanding bangsa-bangsa yang lain. Sebaliknya, agama pula adalah semata-mata berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang diwahyukan oleh Tuhan.

Apabila kedua-dua entiti yang pada dasarnya sangat berlainan cuba diasimilasikan, maka tidak dapat dinafikan akan terdapatnya kelainan dan konflik. Bangsa Melayu dan agama Islam tampak begitu serasi antara satu sama lain hari ini adalah kerana agama Islam telah diperkenalkan kepada bangsa Melayu sejak beratus-ratus tahun dahulu. Kebanyakan daripada kelainan dan konflik yang timbul telahpun diselesaikan dalam tempoh itu. Hasilnya, Islam telah diasimilasikan ke dalam cara hidup bangsa Melayu (dan bukannya gaya hidup bangsa Melayu yang telah diasimilasikan ke dalam ajaran Islam).

Namun begitu, nilai-nilai kebudayaan yang mendahului agama untuk sekian lama tidak mudah untuk ditinggalkan. Bangsa Melayu hari ini masih mengekalkan banyak daripada nilai-nilai kebudayaannya. Oleh sebab (di Malaysia, sekurang-kurangnya) bangsa Melayu dan agam Islam begitu rapat dihubungkaitkan, banyak daripada apa yang sebenarnya nilai dan ritual kebudayaan Melayu disalahanggap sebagai ajaran Islam. Penghubungkaitan ini begitu mendalam sehinggakan ramai dalam kalangan bangsa Melayu itu sendiri mempercayai salahtanggapan ini.

Satu lagi kesan negatif hasil daripada asimilasi ini ialah ajaran Islam tidak lagi difahami sebagaimana ia sepatutnya difahami. Kebanyakan daripada apa yang diajar kepada generasi muda bangsa Melayu berkaitan Islam telah terlalu dipermudah hingga ke tahap hanya ritual-ritual wajib sahaja yang diajar, dan selalunya nilai-nilai utama seperti baik hati, kebertanggungjawaban, kegigihan, dan banyak lagi nilai-nilai lain yang mengdefinisikan Islam diketepikan. Ibu bapa mengajar anak-anak mereka untuk menunaikan solat 5 waktu dalam sehari, membaca Al-Quran, berpuasa, tetapi begitu sedikit daripada nilai-nilai utama dalam Islam yang diterapkan. Perkara yang sama dapat dilihat dalam silibus Pendidikan Islam yang diajar di sekolah-sekolah kebangsaan. Hasilnya, kebanyakan daripada bangsa Melayu hari ini menunaikan solat, membaca Al-Quran, dan berpuasa hanya kerana mereka diajar untuk berbuat demikian, dan bukannya kerana mereka benar-benar memahami sebab-sebab mereka dituntut melakukan kewajipan-kewajipan tersebut. Tanpa kefahaman yang sebenar, bukan sahaja mereka menjadikan Islam tampak tidak menarik kepada bangsa-bangsa lain, malah kewajipan-kewajipan yang dilakukan menjadi tidak lebih daripada sekadar ritual-ritual yang rigid, dan kebanyakan daripada nilai-nilai yang meletakkan Islam di puncak dunia satu masa dulu hilang dalam kerigidan ritual.