Lihatlah berapa ramai antara kita yang suka membicarakan atau memberi komen tentang perkara-perkara yang kita tidak banyak ilmu berkenaanya. Ambil saja topik politik. Begitu ramai antara kita yang suka sangat mengatakan orang ini salah, orang ini benar, orang ini tak layak jadi pemimpin, orang ni layak, orang ni hina buat perkara keji ni dan sebagainya, sedangkan sumber-sumber pengetahuan kita terhadap banyak isu-isu politik hanyalah sekadar laporan-laporan berita, akhbar, dan laman-laman blog dan berita, jauh sekali dari mencukupi. Berapa ramai sahaja di antara kita yang mendalam pengetahuannya mengenai konsep, perlaksanaan, dan kepentingan sistem Raja di Malaysia umpamanya. Atau Dasar Ekonomi Baru, atau prinsip-prinsip dan polisi-polisi ekonomi, pentadbiran sosial, pendidikan, keharmonian masyarakat majmuk, dan banyak lagi isu-isu yang sering kita golongan remaja ini bincangkan. Tidak salah untuk berbincang supaya bertambah pengetahuan, tetapi apa gunanya kalau perbincangan itu sekadar menuding jari dan mengutuk orang itu dan ini? Untuk perbincangan perkara-perkara serius seperti ini betul-betul membuahkan hasil dan menambah pengetahuan, orang yang berbincang perlulah berilmu, dan ilmu-ilmu ini mana diajar di sekolah-sekolah dan universiti-universiti. Kita perlulah membaca buku-buku dan tulisan-tulisan lain mengenainya. Masalahnya pula remaja kita ni tak suka membaca. Jadilah kita ni suka berbicara sahaja, tak suka belajar, bagaimanakah nak menjadi insan cemerlang, bagaimanakah nak kembalikan kegemilangan Islam, bagaimanakah nak beri sumbangan besar terhadap agama bila dewasa nanti, kalau masa remaja ini tak dibangunkan diri bukan saja dengan ilmu-ilmu akhirat, teteapi juga dengan ilmu-ilmu dunia?

Jadilah banyak badan-badan agama kini menarik golongan-golongan remaja yang lebih sikit ilmu-ilmu teknikalnya. Program-program usrah banyak dijalankan untuk pelajar-pelajar universiti di dalam dan luar negara, supaya mereka yang terpelajar ini, yang sudah ada sedikit-sebanyak ilmu dunia, dilengkapi dengan ilmu akhirat supaya mereka menjadi bermanfaat untuk diri-sendiri dan orang lain. Tetapi bagi saya ini tidak cukup. Perkara yang sama perlu dilakukan untuk mereka yang sudah mempunyai sedikit-sebanyak ilmu akhirat, untuk dilengkapi dengan ilmu dunia. Program-program dan kem-kem bersifat keagamaan perlu juga menekankan pembangunan ilmu dunia and perubahan sikap, supaya tidak saja mementingkan ilmu akhirat tetapi juga ilmu dunia. Diri sendiri dan rakan-rakan sekeliling kita juga perlu disedarkan bahawa sifat cukup makan sahaja memang tidak cukup. Kita mesti buat lebih dari yang diperlukan, supaya dapat kecemerlangan. Kita mesti banyakkan baca buku-buku yang bermanfaat, latih diri berbicara dengan ilmu dan bukan emosi. Kerana kalau kita betul-betul memahami dan mempraktikkan Islam dengan sebenar, inilah yang Islam anjurkan.

Ingatlah, golongan kita golongan remaja ini berharga bukan sekarang, tapi bila kita sudah dewasa. Betapa berharganya kita apabila dewasa nanti bergantung kepada bagaimana kita membangunkan diri ketika remaja, dan bagaimana kita membantu rakan-rakan seusia remaja lain membangunkan diri mereka. Bagi saya, peranan ini sudah cukup besar, jelas, dan praktikal yang mesti kita golongan remaja lakukan, sekiranya kita betul-betul mahu menyumbang kepada dan membangunkan Islam. Wallahualam.