Hilang dalam kerigidan ritual
Jadi haruskah bangsa Melayu meninggalkan semua nilai kebudayaan mereka untuk menerima Islam dengan sepenuhnya? Jelas sekali ini bukanlah satu langkah yang bangsa Melayu mahu lakukan. Malahan, ia sebenarnya satu langkah yang tidak perlu sama sekali. Ajaran Islam bukanlah satu set arahan yang ditulis perkataan demi perkataan secara spesifik bagaimana untuk menjalani kehidupan harian. Sebaliknya, ia adalah satu set prinsip-prinsip utama untuk dijadikan panduan apabila membuat sebarang keputusan, termasuk bagaimana untuk menjalani kehidupan harian kita. Islam bukanlah bertujuan mewujudkan satu dunia di mana penghuninya semuanya sama tanpa sebarang variasi dari segi kebudayaan. Malah, Islam menggalakkan diversiti dan kepelbagaian, selagi mana kepelbagaian itu tidak bercanggah dengan set prinsip-prinsip utama yang menjadi ajaran Islam.
Oleh itu penting bagi bangsa Melayu untuk mengenali dan belajar membezakan antara ajaran Islam yang sebenarnya dan nilai-nilai kebudayaan dan ritual bangsa Melayul. Banyak dari nilai-nilai budaya tersebut — nilai-nilai yang mendefinisikan bangsa Melayu itu sendiri dan menjadikan mereka unik daripada bangsa-bangsa lain di seluruh dunia — kadang-kadang menjadi sangat membatasi apabila disalahfahamkan sebagai ajaran Islam, kerana tidak seperti nilai-nilai budaya, ajaran agama selalunya menimbulkan rasa kewajipan untuk dilaksanakan. Saya yakin hanya apabila budaya dan agama tidak dicampuraduk dan disalahfahami menjadi satu sama lain barulah kedua-duanya boleh berkembang dan mencapai kemajuan.
Beberapa amalan kebudayaan Melayu yang sering disalahfahami menjadi ajaran Islam:
- Mengenakan baju melayu ketika menunaikan solat
- Keengganan atau kebencian yang hampir naluriah terhadap anjing dan khinzir
- Kebanyakan kepercayaan tahyul dan mistik
Hanya sebagai nota sampingan, saya pernah mencari di Internet dan beberapa laman terkenal untuk sumber pengetahuan Islam untuk sebarang rujukan berkenaan kepercayaan masayarakat Melayu bahawa tidur di petang hari (sekitar 4.30 petang hingga 7.00 malam) adalah tidak baik bagi kesihatan mental anda. Tiada sebarang rujukan dijumpai.
